Monday, 31 October 2016

TABAHNYA MEREKA DEMI MENUNTUT ILMU


Assalamualaikum dan salam satu Malaysia

      Entri kali ini saya ingin berkongsi berita menarik yang disiarkan oleh sinar harian online mengenai perjalanan ke sekolah yang paling menakutkan di dunia. Berita ini merupakan kisah benar yang berlaku di kampung Atuler daerah Sichuan, China. Kisah ini menjadi viral di media sosial selepas media kerajaan China iaitu Beijing News mendedahkan perkara ini kepada umum. 

           Kanak -kanak dari kampung Atuler ini sanggup memanjat tangga yang diperbuat daripada akar pokok semata-mata untuk pergi ke sekolah yang berada di puncak gunung. Jalan ini turut digunakan oleh penduduk kampung untuk menjual hasil-hasil pertanian mereka. Tangga yang digunakan berukuran 800 meter panjang. Jalan ini sangat berbahaya kerana jika tersilap langkah, maka nyawa akan menjadi taruhannya. Sebelum ini terdapat kes yang dilaporkan mengenai penduduk dan murid maut akibat terjatuh daripada tangga berkenaan. 

       Walaupun perjalanan untuk ke sekolah agak memenatkan dan berbahaya tetapi mereka tiada pilihan lain kerana jalan ini merupakan satu-satunya jalan perhubungan yang ada. Sungguh cekal dan tabah kanak-kanak ini mengaharungi rintangan demi menimba ilmu. Saya berasa sungguh kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini. Semangat kanak-kanak ini untuk menuntut wajar dicontohi oleh semua. 

          Kisah yang dipaparkan ini memberi banyak pengajaran kepada kita semua. Sebagai pelajar kita seharusnya berasa bersyukur dengan kemudahan yang dimiliki iaitu tempat belajar yang selesa dan selamat. Kita perlu manfaatkan kemudahan ini dan lebih bersemangat untuk menuntut ilmu. Selain itu, kita tidak seharusnya mempunyai sikap malas untuk belajar. Hal ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk menuntut ilmu dan mengamalkannya. 

       Menuntut ilmu merupakan ibadah. Allah SWT akan mengangkat darjat dan kedudukan orang yang menuntut ilmu dan Allah akan permudahkan jalan menuju syurga orang yang menuntut ilmu. Menuntut ilmu ini juga merupakan jihad melawan kebodohan. Ilmu ini seperti cahaya yang menerangi hidup dan sebagai petunjuk manakala kebodohan adalah kegelapan dan kesesatan. Oleh hal demikian, kita perlu berusaha untuk menuntut ilmu dan tidak pernah berhenti serta putus asa untuk belajar.  



Gambar menunjukkan kanak-kanak memanjat tebing curam untuk pergi ke sekolah 

No comments:

Post a Comment