Marcapada hari ini dilimpahi dengan banyaknya karya-karya yang dinukil para sasterawan lama. Agenda penulisan yang beragam aneka merupakan pemangkin kepada kewujudan varian genre. Dan setiap genre dititipkan pula dengan kisah masing-masing yang hebat-hebat belaka.
Umum mengetahui bahawa, tidaklah sesuatu penulisan itu dipenakan tanpa ada bayangan yang mendahului kerja-kerja penulisan. Begitulah juga penulisan yang tidak akan mendahului kerja-kerja penerbitan. Setiap sesuatu didahului dengan sesuatu. Dalam entri kali ini, akan dibincangkan mengenai tatacara penulisan bagi memudahkan penulis yang baru berjinak untuk mengenali dunia persuratan berdasarkan artikel daripada http://blog.oxforddictionaries.com/ yang mempunyai agenda yang sama iaitu berkaitan tatacara sebelum menulis sesuatu wacana.
Tata yang pertama adalah dengan membuat pembacaan atau penyelidikan mengenai ruang lingkup cerita yang ingin dikarang. Ia merupakan suatu darma dan tanpanya, penulis tidak akan dapat mencipta penulisan yang lancar kronologinya. Selain daripada itu, penulis baharu perlu tahu menguruskan masa diperuntukkan menulis karya. Hal ini tidak kurang pentingnya kerana menulis memerlukan tahap disiplin yang tinggi agar perkembangan bakat itu terus berkembang.
Kaedah seterusnya adalah dengan merangka idea atau digelar sebagai draf. Pada ketika ini, penulis akan menyenaraikan isi-isi yang perlu ada dalam penulisan. Berdasarkan pengalaman penulis, tidak semua draf yang dirangka akan dituruti sepenuhnya, sebaliknya, plot mungkin dikembangkan atau dialih kepada situasi lain supaya bersesuaian dengan mood plot.
Seterusnya, pengkaji akan mula menulis dengan berbekalkan idea-idea yang berbentuk draf. Di saat inilah pengkaji harus bermain dengan kata-kata. Bukan bermaksud bermain dengan silang kata, tidak. Pengkaji perlu menggunakan diksi yang bersesuaian dengan ayat. Pembaca akan tertarik sekiranya penulisan itu mempunyai rima atau gaya yang tersendiri.
Untuk menghasilkan karya yang baik, pengkaji perlu mempunyai pengetahuan mengenai leksikal yang banyak. Itu menunjukkan penulis sebenarnya mempunyai kebolehan dalam mewacanakan sesuatu. Sebagai langkah terakhir, semak tatabahasa dan ejaan dalam setiap bait-bait kata dalam penulisan tersebut agar pembaca dapat mengelakkan gangguan dalam mood pembacaan.
No comments:
Post a Comment